Garis Panduan Amalan Pembiayaan Yang Bertanggungjawab oleh Bank Negara Malaysia (BNM)..Adakah Ia Berkesan ?
Sahabat semua, sepertimana yang kita ketahui mulai 1 Januari 2012 lalu bank pusat kita iaitu Bank Negara Malaysia ( BNM) telah mengeluarkan satu garis panduan yang dikenali sebagai Garis Panduan Amalan Pembiayaan Yang Bertanggungjawab kepada semua institusi kewangan. Melalui garis panduan ini, kelulusan atas permohonan pembiayaan akan diperketatkan bagi tujuan mengawal kadar hutang isirumah Malaysia yang dikhabarkan mencecah RM 577 billion atau 74 peratus dari KDNK negara setakat November 2010.
Berdasarkan garis panduan ini kelulusan permohonan pembiayaan adalah berdasarkan Pendapatan bersih seseorang. Ini bermakna semua pendapatan kasar individu akan ditolak dahulu dengan segala potongan wajib yang ada seperti potongan KWSP, Socso, Potongan Cukai Berjadual (PCB), PTPTN dan segala jenis pembayaran wajib yang sedang berkuatkuasa. Pendapatan bersih itulah asas yang digunakan untuk meluluskan pembiayaan seseorang. (method sebelum ini hanya pendapatan kasar diambil kira)
Pihak institusi kewangan perlu memberikan maklumat terperinci mengenai produk pembiayaan dipohon. Ini termasuklah jumlah pembayaran balik yang perlu dibayar, kadar faedah / keuntungan yang perlu dibayar, kesan kenaikan kadar faedah dan sebagainya. ( method sebelum ini pelanggan hanya datang untuk tandatangan surat perjanjian dan hanya mengetahui kadar bayaran bulanan sahaja). Khusus untuk pembiayaan kereta, kadar tahunan maksimum hanyalah 9 tahun sahaja. Kadar ini adalah relevan dengan jangka hayat sesebuah kereta itu ( method sebelum ini ada yang meletakkan sehingga 15 tahun )
Walaupun ramai yang menentang pelaksanaan garis panduan ini khususnya di kalangan pengeluar kereta yang menyatakan bahawa jualan kenderaan telah menyusut sehingga 11% pada Januari lalu, ada baiknya ia diperkenalkan.
Secara peribadi, saya bersetuju dan menyokong pelaksanaan ini yang antara lain adalah untuk mengawal kadar hutang seseorang individu. Sekurang-kurangnya pihak institusi kewangan tidak sewenang-wenangnya menawarkan pelbagai jenis produk pembiayaan yang sedap didengar hanya untuk melariskan produk mereka sahaja. Natijahnya, orang ramai juga yang menanggung hutang sehingga ada yang jatuh muflis dalam usia yang sangat muda.